Beri mereka peluang - Kim Swee
Dua kekalahan besar yang dicatatkan oleh skuad Harimau Muda B dalam aksi Liga Perdana telah diduga oleh jurulatihnya, Ong Kim Swee selepas kehilangan lima pemain utama bersama Harimau Muda A ke Slovakia.
Menurut Kim Swee, barisan simpanan yang menggantikan tempat lima pemain utamanya baru pertama kali diturunkan dan perlu mengambil masa membentuk persefahaman.
Oleh itu, dia berharap peminat tidak terlalu cepat menghukum skuadnya kerana mereka masih dalam proses pembelajaran.
``Sebahagian daripada mereka baru bersama skuad Harimau Muda dalam masa tiga ke empat bulan serta tidak berpengalaman beraksi di peringkat tertinggi tambahan pula rata-rata umur pemain Liga Perdana jauh lebih senior.
``Mereka semua sebenarnya berbakat dan berkemampuan, namun masih kurang daripada segi pengalaman, jadi saya minta beri mereka peluang.
``Berbanding lima pemain yang dipanggil oleh Mohd. Azraai Khor, mereka sudah bersama skuad ini beberapa tahun lalu dan tiada mempunyai sebarang masalah beraksi di Liga Perdana, ’’ katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, hari ini.
Dalam perlawanan kelmarin, Harimau Muda tewas 1-4 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan gol tunggal dijaringkan oleh Muhd Ferris Danial sementara PDRM memperoleh gol menerusi Khairul Izuan Abdullah, Mohd Fauzi Majid, Mohd Afif Amirudin dan Abdul Rayjal Jalil.
Sebelum itu, anak-anak buah Kim Swee turut tumpas dengan jumlah jaringan sama kepada Pos Malaysia pada 5 Mac lalu.
Tambah Kim Swee, masalah utama dihadapinya ialah tiada perampas bola yang baik selepas kehilangan Mohamad Fadhli Mohd Shas di bahagian pertahanan tengah dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang sering diletakkan di bek kanan.
``Dua posisi itu sering menjadi kunci kekuatan kepada bahagian pertahanan kami namun selepas ketiadaan mereka, saya mempunyai sedikit masalah untuk mengisi kekosongan terbabit.
``Akibatnya, dalam pertemuan dengan PDRM, barisan pertahanan saya melakukan dua kesilapan mudah lantas menjejaskan semangat semua pemain kerana sudah ketinggalan 2-0 pada 15 minit pertama, ’’ katanya.
Namun, dia sedikit tidak akan mengalah malah yakin pemainnya sedar yang mereka perlu bangkit dalam perlawanan seterusnya menentang Felda United pada hari esok.
``Saya tahu mereka akan belajar dari setiap perlawanan dan cuba mengurangkan kesilapan.
``Malah, saya sendiri tidak mahu memarahi pemain kerana tahu mereka ini semua masih muda dan mengelakkan daripada berputus asa, ’’ jelasnya.
Saturday, March 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment