Lima pemain baru akan dipanggil
MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR. - Persatuan Hoki Malaysia (PHM) dijangka akan memberi lampu hijau kepada hasrat jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen dan Tai Beng Hai untuk menambah lima pemain dalam masa terdekat ini.
Menurut Van Huizen, walaupun PHM belum mengeluarkan kebenaran secara rasmi namun berdasarkan perbincangan sebelum ini, persetujuan secara lisan sudah dinyatakan.
``Saya dan Beng Hai hanya menunggu kebenaran daripada PHM, selepas itu baru boleh kami akan memanggil kelima-lima pemain berkenaan.
``Buat masa ini, saya masih belum ada mana-mana nama yang pasti akan dipanggil kerana mahu membincangkannya secara bersama dengan Beng Hai selain mahu meninjau aksi pemain yang beraksi di Piala Tun Razak, ’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, penambahan lima pemain itu cukup penting kerana tarikh kejohanan Trofi Juara-Juara Asia dan Piala Sultan Azlan Shah hanya dipisahkan selama sebulan.
``Trofi Juara-Juara Asia akan diadakan pada 13 hingga 18 April depan sementara Piala Sultan Azlan Shah pula pada 8 hingga 16 Mei.
``Oleh itu, saya amat memerlukan tambahan pemain supaya pemain tidak terlalu penat dan mendapatkan kecederaan selain bertujuan memberikan pendedahan kepada muka baru, ’’ ujarnya.
Berkata mengenai persiapan terkini skuad negara, Van Huizen menjelaskan skuad negara berjaya menunjukkan prestasi baik pada liga persahabatan empat penjuru di Stadium Hoki Tun Razak pada dua minggu lalu.
``Skuad negara menang dalam semua tiga perlawanan iaitu menumpaskan kelab Korea, Seong-Ju dengan keputusan 5-2, membelasah kelab Mannheim dari Jerman, 4-0 dan menewaskan Projek 2013, 4-1.
``Pemain muda yang baru pertama kali dipanggil dapat membentuk persefahaman yang baik dengan anggota pasukan lain dalam perlawanan-perlawanan tersebut.
``Setakat ini fokus saya adalah untuk meningkatkan tahap stamina dan skil mereka agar boleh beraksi secara kompetitif dalam pertandingan, ’’ jelasnya.
Sementara itu, Van Huizen memberitahu Beng Hai sedang mengadakan rundingan mendapatkan khidmat Ronald Oltmans bersama ahli jawatankuasa PHM di New Delhi, India sempena Hoki Piala Dunia.
``Sejauhmana kejayaan rundingan itu saya belum pastikan, mungkin kita akan mengetahuinya dalam masa terdekat ini, ’’ katanya.
Saturday, March 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment